Dewasa ini terdapat lambakan filem melayu yang ditayangkan di layar perak.
Penonton datang berpusu-pusu ke panggung wayang atau ada yang menonton di rumah
di hadapan televisyen atau ada juga yang menonton di skrin komputer. Dari kaca
mata seorang remaja yang tidak berapa teguh pemahaman dan penguasaan bahasa
melayu, tidak ada apa-apa yang salah dengan ayat yang dituturkan pelakon.
Filem-filem baru seperti KL Ganster, Kongsi, dan Remp-it ini tidak
banyak pengisiannya dari segi bahasa malah ia menarik perhatian remaja untuk
mencuba menggunakan bahasa yang boleh dianggap kronik di dalam kehidupan
seharian mereka kerana ia dianggap bahasa norma. Fenomena ini akan sedikit
sebanyak menghakis bahasa Melayu hingga ia menjadi bahasa rojak dan hilang
identitinya. Malahan kata-kata yang digunakan agak kesat dan menghilangkan
kelembutan bahasa Melayu di mana penggunaan kata panggi seperti 'awak',
'encik', telah digantikan kepada 'lu', 'brader' yang tidak sopan dan tidak ada
dalam kamus bahasa melayu Sehinggakan daripada penggunaan perkataan “aku”, mereka sudah bercakap sesama sendiri dengan menggunakan perkataan “gua” dan “lu”. Itu belum lagi ajukan percakapan seperti “gua sengat sama lu” dan “lu pergi mampus”. Semua perkataan dan ayat tu hanya mula bermain dibibir mereka selepas kemunculan movie KL Gangster. Apa yang kita nak banggakan sangat dengan filem seperti itu. Filem-filem ganas ini hanya menggalakkan lagi atau mengajar seseorang menjadi jahat dan samseng, yang terpengaruh adalah dikalangan anak-anak dibawah umur yang masih bersekolah.
Bahasa rojak
Sebenarnya kita semua tidak gembira apabila ada filem-filem atau drama
yang menggunakan bahasa rojak. Kita tentu malu dengan filem atau drama dari
Indonesia misalnya yang menggunakan bahasa Indonesia biarpun ada slanga
tertentu. Tetapi isu bahasa rojak dalam filem tempatan tercetus daripada isu
lain yang lebih besar. Maknanya tidak salah kalau ada kalangan kita sensitif
dengan penggunaan bahasa Melayu campur Inggeris campur Cina dalam filem
tempatan. Tetapi kita wajar melihat pangkal isu bahasa dalam filem tempatan.
Tentu ada pangkalnya dan kita jangan sama sekali cuba menyembunyikan pangkal
dengan menilai pucuknya saja.
Bukan bersuluh batang pisang, tetapi bersuluh bulan matahari. Soalnya
kenapa kita terlalu beria-ia sangat mempersoalkan filem yang tidak menggunakan
bahasa Melayu yang baik sedangkan dalam perkara lain bahasa Melayu tidak pernah
dimuliakan? Kalau ada yang berkata bahasa Melayu menjadi alat penyatuan kaum,
anggaplah itu satu propaganda murahan dalam konteks negara ini.
Orang filem tidak wajar dipersalahkan tetapi tanyalah apakah yang
digambarkan dalam filem benar-benar berlaku di dalam masyarakat? Kita percaya
kalau semua kaum di negara ini bertutur dalam bahasa Melayu tentu tidak ada
filem yang dibuat menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Filem Indonesia
menggunakan bahasa Indonesia kerana dasar bahasa kebangsaan mereka kuat. Maka
tidak ada filem atau drama yang menggunakan bahasa rojak. Kalau digunakan juga,
sudah tentu berasa sangat janggal.
Memang baik kalau dibuat dalam bahasa Melayu tetapi ini bukan kayu ukur
untuk menonjolkan jati diri dan pemikiran bangsa dalam sesebuah filem. Filem
ada bahasanya sendiri. Bahasa filem akan difahami oleh semua orang di seluruh
dunia. Bahasa filem inilah yang menentukan sama ada sesebuah filem mampu
menonjolkan jati diri atau sebaliknya.
Mudah Terpengaruh Dengan Aksi
Aksi-aksi yang ditonjolkan di dalam filem-filem di atas
adalah agak ganas bagi golongan bawah umur dan mereka ini mudah terpengaruh
untuk meniru aksi tersebut. Bagi yang sedang di alam sekolah menengah mungkin
terasa megah jika mereka sendiri melakonkan watak filem itu dalam kehidupan
seharian mereka maka terjadilah kes buli, tumbuk menumbuk, pelajar poteng
kerana bagi mereka dunia seperti dunia filem di mana semua akan berpihak kepada
wira.
Aksi-aksi yang dilakonkan di dalam filem
semuanya dilakukan dalam suasana selamat dan terancang tetapi bagi remaja yang
berada di bumi sebenar aksi-aksi yang dilakukan di dalam filem boleh meragut
nyawa mereka sendiri serta membahaykan nyawa yang berada disekeliling mereka.
Contohnya mungkin ramai mat rempit mengagungkan filem yang berunsurkan lumba
motor dan mereka menjadi lebih berani untuk mencuba di atas jalan raya sebenar.
Hal ini boleh mengakibatkan kemalangan yang boleh meragut nyawa.
Seperti di dalam filem, pasti ada watak yang seperti cacing
kepanasan di mana jika digertak sedikit dia pasti akan berang dan memukul orang
sekeliling. Remaja juga jika didedahkan kepada banyak filem seperti ini hati
mereka akan karat sedikit demi sedikit dan mereka akan menjadi watak tersebut
di dalam kehidupan sebenar kerana kata-kata yang diucapkan watak tersebut akan
bermain berulang kali di dalam minda remaja sehingga menjadi satu tabiat harian.
Akhir kata dan Pandangan
Bagi kita yang dewasa mungkin menonton sebagai hiburan sahaja. SM rasa tidak mungkin dengan menonton filem seperti itu akan mengubah sikap kita yang dewasa ini menjadi seperti watak dalam filem tersebut. Tapi bagi remaja terutama pelajar yang masih bersekolah, apa yang berlaku dipersekitaran dan dilihatnya akan mencorak pemikiran dan kenderungan mereka bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya', kalau salah dididik akan huru-hara la masa depan remaja tersebut. Satu panduan atau peraturan tentang ciri-ciri filem yang boleh ditayangkan kepada umum patut diimplimentasikan. Filem-filem yang berunsur ganas dan pergaulan bebas perlu dielak dan lagi bagus kalau ianya diharamkan dari ditayang. Tak ada ruginya negara kalau kita menyekat sebarang filem yang berpotensi mendatangkan keburukan kepada pembentukan akhlak rakyat.
No comments:
Post a Comment