Sila ambil sedikit masa untuk mendalami maksud gambar-gambar di atas kerana ia boleh membuatkan anda sedih, terkilan, marah dan juga rasa lemah kerana tidak dapat melakukan apa-apa untuk bayi yang tidak berdosa di atas.
Definisi
pembuangan bayi ini adalah perkataan ‘buang’yang membawa maksud mencampakkan,
melemparkan, menghapuskan dan menghilangkan. Perkataan ‘bayi’ bermaksud anak
kecil yang baru dilahirkan oleh ibu. Manakala maksud 'pembuangan bayi' pula
adalah perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa
ke merata-rata tempat tanpa ada sifat berperikemanusiaan. Definisi yang
diberikan ini mampu memberikan kefahaman yang lebih jelas lagi tentang
masalah pembuangan bayi ini. Tindakan membuang bayi ini adalah jenayah yang
amat besar dosa dan hukumannya dalam Islam. Firman Allah s.w.t didalam surah
An-Nisa ayat 93:
“Dan sesiapa yang
membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka
jahanam kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat
akannya serta menyediakan azab seksa yang besar”.
Pembuangan
bayi dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberi kesan dan impak yang
begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama Negara pada masa
akan datang, memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara.
Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja
pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak
mereka.
Bayi merupakan
anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bayi
juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan
tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia
remaja. Akibat daripada tiada perikemanusiaan, bayi telah menjadi mangsa dan kesannya
mereka hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung.
FAKTOR-FAKTOR UTAMA
BERLAKUNYA PEMBUANGAN BAYI INI DI KALANGAN RAKYAT MALAYSIA
Kekurangan didikan
agama
Pengaruh rakan sebaya
Sikap masyarakat yang
suka mengkritik dan menghukum golongan remaja
Sikap remaja yang
ingin mencuba sesuatu yang baru
Dalam hal ini
kita tidak boleh menafikan bahawa kekurangan didikan agama antara faktor utama
kes pembuangan berlaku. Kebiasaanya golongan remaja merupakan golongan
yang terlibat dalam kes ini. Inilah kesannya apabila rohani seseorang remaja
tidak diisi dengan ajaran agama secara mendalam. Kekurangan didikan agama
menyebabkan mereka tiada haluan hidup lalu terlibat dalam gejala negatif
antaranya ialah pergaulan bebas dengan menjalinkan hubungan di luar tabii
antara perempuan dengan lelaki sehingga menyebabkan remaja perempuan mengandung
sebelum berkahwin. Seterusnya, remaja tersebut akan menjadi tidak
berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat-
tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya. . Lebih
teruk lagi, ada segelintir remaja membunuh dan membakar bayi yang mereka
lahirkan semata-mata mahu menghilangkan bukti hasil hubungan sulit mereka.
Selain itu,
faktor kedua adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Hal ini kerana pada
usia muda,remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka terutamanya
apabila bergaul dengan rakan sebaya yang negatif dan tidak bermoral.
Rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak mereka melakukan perkara-perkara
yang di luar batasan agama dan norma masyarakat misalnya pergi ke tempat
hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja
yang terjebak dalam perkara negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan
akhirnya menyesal dan tidak menemui jalan penyelesaian apabila mendapati bahawa
dirinya mengandung. Dalam keadaan terdesak, tanpa berfikir panjang mereka
mengambil keputusan membuangkan bayi mereka.
Sehubungan
itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum golongan remaja yang
terlibat juga menyebabkan masalah sosial ini berlaku. Hal ini kerana apabila
seseorang remaja melahirkan anak luar nikah hasil hubungan sulit mereka
semestinya masyarakat setempat menghina dan memandang rendah kepada mereka
serta dianggap menjatuhkan maruah keluarga masing-masing Demi menjaga maruah
diri dan keluarganya, remaja tersebut mengambil keputusan mudah dengan
membuangkan bayinya di tempat-tempat tertentu untuk mengelakkan daripada
dipandang jijik oleh masyarakat setempat. Mereka yang terlibat tidak sepatutnya
dicemuh dan dijijik sebaliknya diberi bantuan dan sokongan moral daripada
pelbagai pihak tertentu.
Faktor yang
terakhir adalah sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu yang baru atau sifat
ingin tahu. Sifat ingin tahu tentang sesuatu kelainan memang wujud dalam diri
seseorang remaja itu.Kebiasaannya, mereka ini gemar mencuba sesuatu benda
yang baru dan menarik. Remaja berfikir bahawa mereka menjadi matang dan lebih
dewasa apabila mencuba sesuatu yang jarang dilakukan oleh orang lain
terutamanya seks rambang. Mereka juga beranggapan pada usia remaja mereka patut
berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara seperti seks bebas
ini. Mereka seharusnya berfikiran rasional dan bijak dalam menilai baik dan
buruk apabila membuat sesuatu perkara supaya tidak menyesal dikemudian hari.
Kesan –kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada negara kita sendiri.
KESAN KEPADA BAYI
i) Mereka juga mungkin terpaksa
memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa.
ii) Apa yang lebih teruk,
bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia yang
tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak
sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil, misalnya dibuang di
tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat. Selain
itu,tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu
pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.
KESAN KEPADA IBU BAYI
i) Dipandang serong oleh
masyarakat disebabkan kesempitan hidup wanita yang hamil tanpa nikah ini
biasanya dihantui perasaan takut dan malu serta kemungkinan disisihkan oleh
keluarga dan kawan-kawan.
ii) Kesan dari sudut perubatan
adalah pesalah akan mengalami jangkitan kuman, kecederaan sewaktu bersalin dan
juga kehilangan darah kerana tidak berada dalam jagaan yang sebenar.
Majoritinya mereka melahirkan sendiri tanpa pertolongan pihak hospital mahupun
orang lain.
iii) Selain itu, kesan dari segi
psikologi dan sosial adalah pesalah akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan
diri, rasa bersalah, resah dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada perbuatan
mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang agama dan negara.
KESAN KEPADA KELUARGA
i) keruntuhan institusi
kekeluargaan akibatnya wujud ketidakharmonian dalam kekeluargaan. Hal ini
disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak sebegitu. Bahkan, keluarga itu
iaitu pastinya diperkatakan oleh jiran sekeliling menyebabkan mereka malu untuk
bergaul dengan orang ramai lagi.
ii) Mungkin juga akan wujud
penceraian kerana ibu menyalahkan bapa, bapa menyalahkan ibu tersebut kerana
tidak pandai memelihara anak-anak sehingga menconteng arang di muka mereka.
Oleh itu masa depan anak - anak akan terbiar dan tidak terpelihara sekiranya
ibu bapa bercerai.
KESAN KEPADA NEGARA
i) Kerancakan pembangunan Negara
akan terbantut dan pertumbuhan ekonomi Negara juga sukar berkembang kerana
wujud masalah sosial.
ii) Perbelanjaan kerajaan akan
turut meningkat untuk menampung bayi yang akan diletakkan di rumah kebajikan
masyarakat.
LANGKAH-LANGKAH
MENGATASI MASALAH PEMBUANGAN BAYI
Bagi mengatasi
masalah ini daripada terus berpanjangan, para ibu bapa seharusnya memberi
perhatian, kasih sayang dan bimbingan yang sepenuhnya kepada anak-anak
terutamanya pada peringkat remaja. Ini termasuklah keinginan kasih sayanag dari
ibu bapa dan rakan sebaya. Sekiranya ibu bapa sibuk, mereka tidak perlu
mengabaikan anak-anak mereka, sebaliknya perlu memnatau tindakan dan
pergerakan serta meluangkan masa bersama-sama mereka. Sekiranya ibu bapa
kurang memberikan kasih sayang yang secukupnya, maka anak-anak akan mencari
kasih sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya. Oleh itu ibu bapa
mestilah memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah diri anak-anak
mereka supaya tidak terjebak dalam masalah sosial ini.
Selain itu,
pihak sekolah atau institusi tertentu juga memainkan peranan penting dalam
membentuk sahsiah peribadi remaja daripada terjebak dengan gejala ini.
Pendidikan ini penting dalam strategi pencegahan dan sekolah merupakan
institusi penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari gejala
sosial. Melalui pendidikan juga, pihak sekolah atau institusi tertentu
perlu menerapkan nilai-nilai murni dan seimbangkan akademik serta sahsiah golongan
remaja ini. Jangan terlalu fokus dan menganggap pendidikan sahaja penting
malahan sahsiah remaja juga perlu diberi perhatian sewajarnya.
KESIMPULAN
Permasalahan
dan gejala pembuangan bayi yang melanda remaja pada hari ini sememangnya
amat membimbangkan dan mencemaskan masyarakat. Tindakan untuk mengawal gejala
ini sudah sampai ke tahap yang dianggap serius. Justeru itu, semua warga
masyarakat tidak mengira kaum haruslah bersatu padu mengembleng tenaga membantu
mencegah dan membanteras gejala sosial supaya tidak menular dengan lebih serius
lagi serta ia dapat dikurangkan walaupun tidak sepenuhnya. Bak kata pepatah
‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’.
Pihak atasan
dan juga badan-badan kebajikan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai
ceramah, program-program dakwah atau motivasi kepada remaja supaya mereka
mendapat lebih informasi tentang gejala ini dan sedar tentang kesan serta
bahaya daripada perbuatan tidak bermoral itu. Dengan pelbagai usaha yang
dilakukan secara bersama-sama ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan
masalah ini daripada menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia ini.
Remaja juga harus ingat bahawa suatu masa dahulu ibu mereka pernah melahirkan mereka dan melimpahkan kasih sayang serta membesarkan mereka sehingga mencapai usia sekarang. Mengapa mereka harus mengambil tindakan drastik sebegini? Sesungguhnya bayi itu tidak ada salahnya terhadap ibu yang melahirkan. Dengan ini saya juga menyelitkan pautan untuk artikel yang berkaitan dengan gejala ini. Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment