Friday, 18 October 2013

SBLM1023 ENTRI 2 - ISU PEMBUANGAN BAYI DALAM KALANGAN REMAJA DAN KESANNYA













Sila ambil sedikit masa untuk mendalami maksud gambar-gambar di atas kerana ia boleh membuatkan anda sedih, terkilan, marah dan juga rasa lemah kerana tidak dapat melakukan apa-apa untuk bayi yang tidak berdosa di atas.


Definisi pembuangan bayi ini adalah perkataan ‘buang’yang membawa maksud mencampakkan, melemparkan, menghapuskan dan menghilangkan. Perkataan ‘bayi’ bermaksud anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu. Manakala maksud 'pembuangan bayi' pula adalah perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa ada sifat berperikemanusiaan. Definisi yang diberikan ini mampu memberikan kefahaman yang  lebih jelas lagi tentang masalah pembuangan bayi ini. Tindakan membuang bayi ini adalah jenayah yang amat besar dosa dan hukumannya dalam Islam. Firman Allah s.w.t didalam surah An-Nisa ayat 93:

“Dan sesiapa yang membunuh seorang  mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan  melaknat akannya serta menyediakan azab seksa yang besar”.

Pembuangan bayi dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberi kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama Negara pada masa akan datang, memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka.

Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja. Akibat daripada tiada perikemanusiaan, bayi telah menjadi mangsa dan kesannya mereka hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung.


FAKTOR-FAKTOR UTAMA BERLAKUNYA PEMBUANGAN BAYI INI DI KALANGAN RAKYAT MALAYSIA

Kekurangan didikan agama
Pengaruh rakan sebaya
Sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum golongan remaja
Sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu yang baru

Dalam hal ini kita tidak boleh menafikan bahawa kekurangan didikan agama antara faktor utama kes pembuangan berlaku. Kebiasaanya golongan remaja merupakan golongan yang terlibat dalam kes ini. Inilah kesannya apabila rohani seseorang remaja tidak diisi dengan ajaran agama secara mendalam. Kekurangan didikan agama menyebabkan mereka tiada haluan hidup lalu terlibat dalam gejala negatif antaranya ialah pergaulan bebas dengan menjalinkan hubungan di luar tabii antara perempuan dengan lelaki sehingga menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum berkahwin. Seterusnya, remaja tersebut akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat- tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya. . Lebih teruk lagi, ada segelintir remaja membunuh dan membakar bayi yang mereka lahirkan semata-mata mahu menghilangkan bukti hasil hubungan sulit mereka.



Selain itu, faktor kedua adalah disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Hal ini kerana pada usia muda,remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka terutamanya apabila bergaul dengan rakan sebaya yang negatif dan tidak bermoral. Rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak mereka melakukan perkara-perkara yang di luar batasan agama dan norma masyarakat misalnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjebak dalam perkara negatif tersebut akan melakukan seks rambang dan akhirnya menyesal dan tidak menemui jalan penyelesaian apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan terdesak, tanpa berfikir panjang mereka mengambil keputusan membuangkan bayi mereka.

Sehubungan itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum golongan remaja yang terlibat juga menyebabkan masalah sosial ini berlaku. Hal ini kerana apabila seseorang remaja melahirkan anak luar nikah hasil hubungan sulit mereka semestinya masyarakat setempat menghina dan memandang rendah kepada mereka serta dianggap menjatuhkan maruah keluarga masing-masing Demi menjaga maruah diri dan keluarganya, remaja tersebut mengambil keputusan mudah dengan membuangkan bayinya di tempat-tempat tertentu untuk mengelakkan daripada dipandang jijik oleh masyarakat setempat. Mereka yang terlibat tidak sepatutnya dicemuh dan dijijik sebaliknya diberi bantuan dan sokongan moral daripada pelbagai pihak tertentu.

Faktor yang terakhir adalah sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu yang baru atau sifat ingin tahu. Sifat ingin tahu tentang sesuatu kelainan memang wujud dalam diri seseorang remaja itu.Kebiasaannya, mereka  ini gemar mencuba sesuatu benda yang baru dan menarik. Remaja berfikir bahawa mereka menjadi matang dan lebih dewasa apabila mencuba sesuatu yang jarang dilakukan oleh orang lain terutamanya seks rambang. Mereka juga beranggapan pada usia remaja mereka patut berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara seperti seks bebas  ini. Mereka seharusnya berfikiran rasional dan bijak dalam menilai baik dan buruk apabila membuat sesuatu perkara supaya tidak menyesal dikemudian hari.

Kesan –kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada negara kita sendiri.


KESAN KEPADA BAYI

i) Mereka juga mungkin terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa.
ii) Apa yang lebih teruk, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil, misalnya dibuang di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat. Selain itu,tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.

KESAN KEPADA IBU BAYI

i) Dipandang serong oleh masyarakat disebabkan kesempitan hidup wanita yang hamil tanpa nikah ini biasanya dihantui perasaan takut dan malu serta kemungkinan disisihkan oleh keluarga dan kawan-kawan.
ii) Kesan dari sudut perubatan adalah pesalah akan mengalami jangkitan kuman, kecederaan sewaktu bersalin dan juga kehilangan darah kerana tidak berada dalam jagaan yang sebenar. Majoritinya mereka melahirkan sendiri tanpa pertolongan pihak hospital mahupun orang lain.
iii) Selain itu, kesan dari segi psikologi dan sosial adalah pesalah akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang agama dan negara.

KESAN KEPADA KELUARGA

i) keruntuhan institusi kekeluargaan akibatnya wujud ketidakharmonian dalam kekeluargaan. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak sebegitu. Bahkan, keluarga itu iaitu pastinya diperkatakan oleh jiran sekeliling menyebabkan mereka malu untuk bergaul dengan orang ramai lagi.
ii) Mungkin juga akan wujud penceraian kerana ibu menyalahkan bapa, bapa menyalahkan ibu tersebut kerana tidak pandai memelihara anak-anak sehingga menconteng arang di muka mereka. Oleh itu masa depan anak - anak akan terbiar dan tidak terpelihara sekiranya ibu bapa bercerai.

KESAN KEPADA NEGARA

i) Kerancakan pembangunan Negara akan terbantut dan pertumbuhan ekonomi Negara juga sukar berkembang kerana wujud masalah sosial.
ii) Perbelanjaan kerajaan akan turut meningkat untuk menampung bayi yang akan diletakkan di rumah kebajikan masyarakat.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH PEMBUANGAN BAYI

Bagi mengatasi masalah ini daripada terus berpanjangan, para ibu bapa seharusnya memberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan yang sepenuhnya kepada anak-anak terutamanya pada peringkat remaja. Ini termasuklah keinginan kasih sayanag dari ibu bapa dan rakan sebaya. Sekiranya ibu bapa sibuk, mereka tidak perlu mengabaikan anak-anak mereka, sebaliknya perlu  memnatau tindakan dan pergerakan serta meluangkan masa bersama-sama mereka. Sekiranya  ibu bapa kurang memberikan kasih sayang yang secukupnya, maka anak-anak akan mencari kasih sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya. Oleh itu ibu bapa mestilah memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah diri anak-anak mereka  supaya tidak terjebak dalam masalah sosial ini.

Selain itu, pihak sekolah atau institusi tertentu juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah peribadi remaja daripada terjebak dengan gejala ini. Pendidikan ini penting dalam strategi pencegahan dan sekolah merupakan institusi penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari gejala sosial. Melalui pendidikan juga, pihak sekolah atau institusi tertentu perlu menerapkan nilai-nilai murni dan seimbangkan akademik serta sahsiah golongan remaja ini. Jangan terlalu fokus dan menganggap pendidikan sahaja penting malahan sahsiah remaja juga perlu diberi perhatian sewajarnya.


KESIMPULAN

Permasalahan dan gejala pembuangan bayi yang melanda remaja pada  hari ini sememangnya amat membimbangkan dan mencemaskan masyarakat. Tindakan untuk mengawal gejala ini sudah sampai ke tahap yang dianggap serius. Justeru itu, semua warga masyarakat tidak mengira kaum haruslah bersatu padu mengembleng tenaga membantu mencegah dan membanteras gejala sosial supaya tidak menular dengan lebih serius lagi serta ia dapat dikurangkan walaupun tidak sepenuhnya. Bak kata pepatah ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’.

Pihak atasan dan juga badan-badan kebajikan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah, program-program dakwah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat lebih informasi tentang gejala ini dan sedar tentang kesan serta bahaya daripada perbuatan tidak bermoral itu. Dengan pelbagai usaha yang dilakukan secara bersama-sama ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia ini.

Remaja juga harus ingat bahawa suatu masa dahulu ibu mereka pernah melahirkan mereka dan melimpahkan kasih sayang serta membesarkan mereka sehingga mencapai usia sekarang. Mengapa mereka harus mengambil tindakan drastik sebegini? Sesungguhnya bayi itu tidak ada salahnya terhadap ibu yang melahirkan. Dengan ini saya juga menyelitkan pautan untuk artikel yang berkaitan dengan gejala ini. Sekian, terima kasih. 
  






Tuesday, 1 October 2013

SBLM1023 ENTRI 1 - PENGARUH FILEM MELAYU TERHADAP REMAJA




Dewasa ini terdapat lambakan filem melayu yang ditayangkan di layar perak. Penonton datang berpusu-pusu ke panggung wayang atau ada yang menonton di rumah di hadapan televisyen atau ada juga yang menonton di skrin komputer. Dari kaca mata seorang remaja yang tidak berapa teguh pemahaman dan penguasaan bahasa melayu, tidak ada apa-apa yang salah dengan ayat yang dituturkan pelakon. 


Filem-filem baru seperti KL Ganster, Kongsi, dan Remp-it ini tidak banyak pengisiannya dari segi bahasa malah ia menarik perhatian remaja untuk mencuba menggunakan bahasa yang boleh dianggap kronik di dalam kehidupan seharian mereka kerana ia dianggap bahasa norma. Fenomena ini akan sedikit sebanyak menghakis bahasa Melayu hingga ia menjadi bahasa rojak dan hilang identitinya. Malahan kata-kata yang digunakan agak kesat dan menghilangkan kelembutan bahasa Melayu di mana penggunaan kata panggi seperti 'awak', 'encik', telah digantikan kepada 'lu', 'brader' yang tidak sopan dan tidak ada dalam kamus bahasa melayu Sehinggakan daripada penggunaan perkataan “aku”, mereka sudah bercakap sesama sendiri dengan menggunakan perkataan “gua” dan “lu”. Itu belum lagi ajukan percakapan seperti “gua sengat sama lu” dan “lu pergi mampus”. Semua perkataan dan ayat tu hanya mula bermain dibibir mereka selepas kemunculan movie KL Gangster. Apa yang kita nak banggakan sangat dengan filem seperti itu. Filem-filem ganas ini hanya menggalakkan lagi atau mengajar seseorang menjadi jahat dan samseng, yang terpengaruh adalah dikalangan anak-anak dibawah umur yang masih bersekolah.


Bahasa rojak

Sebenarnya kita semua tidak gembira apabila ada filem-filem atau drama yang menggunakan bahasa rojak. Kita tentu malu dengan filem atau drama dari Indonesia misalnya yang menggunakan bahasa Indonesia biarpun ada slanga tertentu. Tetapi isu bahasa rojak dalam filem tempatan tercetus daripada isu lain yang lebih besar. Maknanya tidak salah kalau ada kalangan kita sensitif dengan penggunaan bahasa Melayu campur Inggeris campur Cina dalam filem tempatan. Tetapi kita wajar melihat pangkal isu bahasa dalam filem tempatan. Tentu ada pangkalnya dan kita jangan sama sekali cuba menyembunyikan pangkal dengan menilai pucuknya saja.

Bukan bersuluh batang pisang, tetapi bersuluh bulan matahari. Soalnya kenapa kita terlalu beria-ia sangat mempersoalkan filem yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang baik sedangkan dalam perkara lain bahasa Melayu tidak pernah dimuliakan? Kalau ada yang berkata bahasa Melayu menjadi alat penyatuan kaum, anggaplah itu satu propaganda murahan dalam konteks negara ini.

Orang filem tidak wajar dipersalahkan tetapi tanyalah apakah yang digambarkan dalam filem benar-benar berlaku di dalam masyarakat? Kita percaya kalau semua kaum di negara ini bertutur dalam bahasa Melayu tentu tidak ada filem yang dibuat menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Filem Indonesia menggunakan bahasa Indonesia kerana dasar bahasa kebangsaan mereka kuat. Maka tidak ada filem atau drama yang menggunakan bahasa rojak. Kalau digunakan juga, sudah tentu berasa sangat janggal.

Memang baik kalau dibuat dalam bahasa Melayu tetapi ini bukan kayu ukur untuk menonjolkan jati diri dan pemikiran bangsa dalam sesebuah filem. Filem ada bahasanya sendiri. Bahasa filem akan difahami oleh semua orang di seluruh dunia. Bahasa filem inilah yang menentukan sama ada sesebuah filem mampu menonjolkan jati diri atau sebaliknya.


Ilustrasi pelajar membuli

Mudah Terpengaruh Dengan Aksi

Aksi-aksi yang ditonjolkan di dalam filem-filem di atas adalah agak ganas bagi golongan bawah umur dan mereka ini mudah terpengaruh untuk meniru aksi tersebut. Bagi yang sedang di alam sekolah menengah mungkin terasa megah jika mereka sendiri melakonkan watak filem itu dalam kehidupan seharian mereka maka terjadilah kes buli, tumbuk menumbuk, pelajar poteng kerana bagi mereka dunia seperti dunia filem di mana semua akan berpihak kepada wira.

Aksi-aksi yang dilakonkan di dalam filem semuanya dilakukan dalam suasana selamat dan terancang tetapi bagi remaja yang berada di bumi sebenar aksi-aksi yang dilakukan di dalam filem boleh meragut nyawa mereka sendiri serta membahaykan nyawa yang berada disekeliling mereka. Contohnya mungkin ramai mat rempit mengagungkan filem yang berunsurkan lumba motor dan mereka menjadi lebih berani untuk mencuba di atas jalan raya sebenar. Hal ini boleh mengakibatkan kemalangan yang boleh meragut nyawa.

Seperti di dalam filem, pasti ada watak yang seperti cacing kepanasan di mana jika digertak sedikit dia pasti akan berang dan memukul orang sekeliling. Remaja juga jika didedahkan kepada banyak filem seperti ini hati mereka akan karat sedikit demi sedikit dan mereka akan menjadi watak tersebut di dalam kehidupan sebenar kerana kata-kata yang diucapkan watak tersebut akan bermain berulang kali di dalam minda remaja sehingga menjadi satu tabiat harian. 


Akhir kata dan Pandangan

Bagi kita yang dewasa mungkin menonton sebagai hiburan sahaja. SM rasa tidak mungkin dengan menonton filem seperti itu akan mengubah sikap kita yang dewasa ini menjadi seperti watak dalam filem tersebut. Tapi bagi remaja terutama pelajar yang masih bersekolah, apa yang berlaku dipersekitaran dan dilihatnya akan mencorak pemikiran dan kenderungan mereka bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya', kalau salah dididik akan huru-hara la masa depan remaja tersebut. Satu panduan atau peraturan tentang ciri-ciri filem yang boleh ditayangkan kepada umum patut diimplimentasikan. Filem-filem yang berunsur ganas dan pergaulan bebas perlu dielak dan lagi bagus kalau ianya diharamkan dari ditayang. Tak ada ruginya negara kalau kita menyekat sebarang filem yang berpotensi mendatangkan keburukan kepada pembentukan akhlak rakyat.

Ini cuma pendapat dan pandangan SM. Setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza. Kepada yang tidak bersetuju dengan pendapat SM, tidak ada masalah, kita bebas bersuara dan memperbetulkan perkara yang menuju ke arah tidak baik.